fbpx

Ordinan perangi berita palsu mudahkan siasatan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid berucap pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Kursus 'Private Pilot's Licence'(PPL) no18 01/2019 di Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh. FOTO: ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Tindakan menangani berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat khususnya di media sosial boleh diselesaikan dengan lebih mudah menerusi pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pewartaan ordinan itu amat dialu-alukan kerana memberi kuasa kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi kesalahan itu tanpa perlu mendapatkan Perintah Untuk Menyiasat (OTI).

Katanya, OTI sebelum ini perlu dipohon dari Pejabat Pendakwa Raya di mana ia memakan masa kira-kira seminggu.

“Selama ini orang ramai seolah-olah marah kepada polis kononnya lambat dan tidak mengambil tindakan terhadap perkara-perkara tidak benar yang ditularkan.

“Bukan kami lambat, kami akan ambil tindakan tetapi disebabkan kekangan undang-undang ketika itu untuk mendapatkan OTI, bukan dalam masa lima minit tetapi makan masa hingga seminggu.

“Jika dibiarkan berlarutan selama seminggu, ia akan mencetuskan dan membakar semangat orang yang akhirnya boleh menyebabkan perbalahan fizikal akibat penyebaran berita palsu jika tidak ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan pewartaan ordinan tersebut, golongan yang perlu gusar adalah mereka yang sering mempromosikan idea-idea ekstrem dan pemikiran sempit melibatkan politik, agama dan kaum.

Katanya, terdapat pasukan ditugaskan memantau sebarang muat naik di media sosial mahupun medium lain dengan tindakan segera diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

“Berita palsu ini tujuannya ialah untuk mencetuskan ketidaksenangan hati satu pihak, kegemparan umum dan kegusaran.

“Sekiranya isu-isu yang dimuat naik itu memang palsu dan bukan fakta, maka kita akan ambil tindakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI