IPOH – Lebih 95 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hanya segelintir pegawai dan anggotanya yang menolak suntikan berkenaan atas faktor kesihatan.
Katanya, penolakan tersebut melibatkan mereka yang bertugas di beberapa negeri antaranya di Kelantan, Kedah dan Perak.
“Lebih 95 peratus menyatakan kesediaan untuk terima vaksin, mungkin tiga peratus (menolak). Saya tiada data dan mereka menolak kerana penyakit dan risiko seperti alahan dan hamil.
“Selain Kelantan, di Kedah pun ada dan Perak ada sikit. Saya akan berusaha menerangkan kebaikannya kepada anggota berdasarkan pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan.
“Itu tempat rujukan paling tepat sekali bukan daripada bomoh, pendita, guru dan ajaran sesat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan beliau berkata, seramai 330 individu telah dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berkuat kuasa semalam.
Katanya, notis itu dikeluarkan membabitkan kesalahan yang termaktub di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
“Semalam 330 orang telah dikompaun di bawah ordinan baharu yang mana ada pindaan ke atas denda yang dinaikkan sehingga RM10,000,” katanya. – K! ONLINE