SHAH ALAM – Usaha untuk mengesan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih gagal menemui jawapan walaupun waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini sejak 23 Februari lalu.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai lokasi sebenar persembunyian Nur Sajat yang mengelak daripada ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Satu sumber berkata, pihaknya bagaimanapun yakin individu itu masih berada di Malaysia ekoran larangan untuk ke luar negara.
“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun kita yakin dia (Nur Sajat) masih berada di negara ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Artikel berkaitan: Sajat dikenakan waran tangkap
Ketika ditanya alasan mengapa Nur Sajat menyembunyikan diri, sumber bagaimanapun enggan menggulas lanjut.
Sementara itu, seorang lagi sumber berkata, kehilangan Nur Sajat mungkin dipengaruhi trauma susulan pernah dipenjarakan sebelum ini di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kuala Kubu Bharu.
Penahanan tersebut dilakukan pada 6 Januari lalu, namun Nur Sajat mendakwa tindakan itu adalah tidak wajar selepas dia memberikan keterangan dan kerjasama yang sepatutnya kepada pihak JAIS .
“Berkemungkinan hukuman penjara itu amat ditakuti oleh Nur Sajat.
“Tindakannya mengeluarkan kenyataan menerusi video ingin keluar daripada Islam juga telah merumitkan lagi keadaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di laman rasmi Instagram Nur Sajat mendapati akaun individu berkenaan telah diaktifkan semula selepas dinyah aktif sebelum ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang gambar atau status terbaharu dimuat naik oleh usahawan kosmetik itu dengan paparan terakhir adalah pada 27 Februari lalu yang memaparkan wajahnya diacu dengan pelbagai pistol.-K! ONLINE