GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan amaran situasi bekalan air tahap satu di negeri ini bermula hari ini ekoran kapasiti efektif di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam mencatatkan penurunan sejak 1 Januari lalu akibat musim kemarau.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masing telah menurun sebanyak 17.9 peratus dan 2 peratus kerana hujan tidak mencukupi untuk memulihkan pelepasan harian.
“Empangan Air Itam dan Teluk Bahang tidak penuh 100 peratus sejak 1 Januari kerana hujan tidak mencukupi pada tahun 2019 dan 2020.
“Pada kadar efektif setakat semalam (77.3 peratus) Empangan Air Itam mampu membekalkan air sehingga 75 hari, manakala Empangan Teluk Bahang (56.7 peratus) boleh membekalkan air sehingga 170 hari lagi,” katanya pada sidang akhbar di Empangan Air Itam di sini hari ini.
Kawasan perkhidmatan utama Empangan Air Itam adalah Air Itam dan Paya Terubong, manakala Empangan Teluk Bahang merangkumi kawasan Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah.
Menurut beliau lagi, PBAPP akan mencadangkan operasi pembenihan awan kepada kerajaan negeri bagi mencetuskan lebih banyak taburan hujan di kawasan empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam.
Katanya, operasi pembenihan awan sesuai dilaksanakan sekitar April depan ketika negeri ini memasuki musim peralihan monsun.
“Objektif utama pembenihan awan itu adalah bagi memastikan empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam dapat mencapai kapasiti efektif minumum 80 peratus menjelang Disember tahun ini,” katanya. – K! ONLINE