WAJAHNYA mungkin kurang dikenali, namun tatkala menyebut sahaja lagu Bahagia, nama Eza Edmond pasti akan terlintas dalam fikiran kebanyakan peminat. Siapa sangka lagu tersebut benar-benar melonjakkan namanya suatu ketika dahulu.
Bagi Eza, Bahagia benar-benar memberikan pengalaman berharga buatnya. Lebih 10 juta tontonan dalam YouTube rasmi dan 40 juta tontonan menerusi saluran lain membuatkan dia berasa sangat bahagia seperti judul lagunya.
Kini selepas tiga tahun merakamkan Bahagia, Eza tampil dengan lagu Miliki Hatiku yang dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube Sheikh Qalam Records pada tanggal 25 Februari lalu.
“Memang saya gembira apabila perjalanan sebagai penyanyi dipermudahkan. Sewaktu merakamkan lagu Bahagia dahulu, saya sendiri tidak menyangka penerimaan peminat sangat baik sehingga tular.
“Sudah pasti apabila hadir dengan single baharu, saya berharap dapat mengekalkan momentum tersebut. Paling tidak, saya berharap Miliki Hatimu perlahan-lahan diterima ramai seterusnya mengingatkan semula peminat kepada diri ini,” katanya.
Mesej positif
Jika Bahagia berkisar tentang kisah duka dalam percintaan, Miliki Hatiku pula mempunyai mesej positif dalam perhubungan.
Lagu yang dicipta bersama dengan Aizuddin Madani tersebut mempunyai bait-bait lirik yang mudah difahami dan tidak berkiasan seperti kebanyakan lagu lain.
Kata anak kelahiran Papar, Sabah itu lagi, trend semasa yang mahukan lirik dan mesej sebegitu menjadi rujukan kepadanya dalam berkarya.
“Sewaktu merakamkan lagu Bahagia, saya dapat rasakan pendengar lebih suka lirik yang mudah difahami. Sebab itu saya gunakan formula yang sama untuk lagu baharu ini.
“Soal lambat diterima atau tidak dalam industri, saya tidak kisah. Asalkan masih ada yang sudi mendengar pun sudah cukup baik buat saya,” ujarnya.
Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond baru sahaja menyelesaikan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Persembahan Muzik di UiTM Shah Alam, Selangor.
Dia yang kini ‘terkandas’ di kampungnya di Tuaran berharap agar pandemik segera berakhir supaya dia dapat kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan aktiviti seni.
“Buat masa ini saya masih berada di kampung. Kalau keadaan reda barulah saya pulang ke ibu kota. Sekarang saya hanya fokus membuat promosi secara dalam talian dahulu,” katanya lagi.
Untuk rekod sebagai penyanyi, Eza pernah terlibat dalam pelbagai acara besar termasuklah Boombastik CTDK Hot FM 2019, Konsert Jazz UiTM 2019, Showcase Anugerah MeleTOP Era 2019 dan puluhan acara yang lain.
Miliki Hatiku boleh didengari dalam semua platform digital.