KUALA TERENGGANU – Dua bot nelayan yang kesemua kru terdiri daripada nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki cuba menyamar sebagai bot tempatan pada kelmarin.
Kedua-dua bot nelayan itu berjaya dikesan Kapal Maritim (KM) Satria pada kedudukan 40 batu nautika dari timur laut Pulau Tenggol, Dungun pada pukul 3 petang.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dua bot nelayan Vietnam itu disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk menyamar seolah-olah bot nelayan tempatan.
“Pasukan penguat kuasa APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan Terengganu dengan KM Satria curiga kerana kedua-dua bot tersebut mempunyai reka bentuk yang berlainan daripada bot nelayan tempatan.
“Kesemua nelayan warga asing yang sedang leka menangkap ikan terkejut dengan kehadiran KM Satria cuba memecut laju untuk melepaskan diri tetapi berjaya dipintas tidak lama kemudian,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Suffian berkata, tekong kedua-dua bot kemudiannya menyerahkan dokumen pemilikan bot yang agak meragukan dan masih dalam siasatan kesahihannya.
Tambah beliau, pemeriksaan terhadap kesemua 15 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 14 hingga 59 tahun yang ditahan juga pula mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
“APMM turut menyita dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM3 juta sebelum ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE