HUNGARY – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan pasukannya masih belum boleh meletakkan sepenuh keyakinan bahawa mereka mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) selepas membenam RB Leipzig 2-0 sekali gus melangkah ke peringkat suku akhir semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan Liverpool menarik nafas lega seketika ekoran masalah kemerosotan prestasi dalam aksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan pasukan tersebut tewas enam kali berturut-turut di laman sendiri di Anfield.
Pujian harus diberikan kepada Mohamed Salah dan Sadio Mane yang masing-masing meledak satu gol untuk memenangi saingan tersebut dengan agregat 4-0 sekali gus mara ke suku akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.
“Musim ini kami dilihat bukan pencabar untuk menjuarai UCL. Kami perlu menunggu undian selepas ini dan sudah pasti kami akan berdepan perlawanan yang sukar.
“Kami mempunyai momentum dalam saingan UCL tetapi bukan pada perlawanan di EPL. Kami perlu bangkit dan ia pasti membantu kami untuk bersaing di Liga Juara-Juara nanti.
“Perkara paling penting ketika ini, pemain mempamerkan aksi yang baik dan mereka menikmati saingan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Salah mengakui kemenangan tersebut cukup bermakna buat pasukan mereka untuk mengembalikan semangat pemain untuk meneruskan saingan di EPL selepas ini. – AGENSI