fbpx

Ah long ugut aib peminjam di FB diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anbalagan (kanan) menunjukkan salinan gambar mangsa-mangsa pinjaman ah long di IPD Barat Daya, Balik Pulau hari ini. - Foto: MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN

BALIK PULAU – Polis menumpaskan satu kegiatan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang menggunakan kekerasan mengugut mahu mengaibkan mangsa dan keluarga dalam laman sosial selepas menahan dua suspek di Kulim, Kedah Selasa lalu.

Lelaki tempatan berusia 20 dan 24 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya kira-kira pukul 2.30 petang.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah beberapa keping sampul surat mengandungi salinan gambar kad pengenalan lebih 10 peminjam dengan tertera tulisan ‘Penipu Besar’, kad bank dan sekeping cek bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pengusaha sebuah syarikat penghantar barangan berusia 46 tahun pada 22 Januari lalu.

“Mangsa membuat pinjaman wang sebanyak RM30,000 yang diluluskan September tahun lalu, namun suspek hanya memasukkan RM24,900 ke dalam akaun bank mangsa.

“Mangsa juga telah membayar sebanyak RM31,700 dalam tempoh setahun sehinggalah pada 3 November lalu, dia tidak dapat bayar baki yang diminta suspek selain mendapat pengurangan sebanyak RM9,000 hasil persetujuan suspek,” katanya pada sidang akhbat di IPD Barat Daya di sini hari ini.

Anbalagan berkata, suspek bagaimanapun masih menghubungi mangsa untuk meminta baki pinjaman dan mengugut menganggu ahli keluarga mangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit menjalankan operasi dengan mengiklankan khidmat pinjaman wang menerusi Facebook dipercayai sejak empat tahun lalu.

“Suspek akan menularkan gambar peminjam yang gagal membayar pinjaman dalam media sosial dan mengedar gambar atau poster mangsa dengan tujuan mengaibkan mereka.

“Selain itu, sindiket itu yang beroperasi di beberapa negeri juga akan memberi wang pinjaman kepada mangsa dipercayai dengan menetapkan faedah yang tinggi,” katanya lagi.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI