fbpx

Tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi berkaitan kuota tambahan haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zulkifli (kanan) memberi sumbangan kepada pelajar UTM pada Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada Pelajar Asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Perak di Bangunan Tabung Haji Ipoh hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Kerajaan masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah sebenar kuota jemaah haji yang dijangka diketahui Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tambahan 10,000 kuota daripada kerajaan Arab Saudi yang diumumkan kelmarin menjadikan jumlah jemaah haji dari Malaysia kira-kira 40,000 orang.

“Kita jangkakan dapat keputusan rasmi mengenai kuota tambahan untuk jemaah Malaysia melaksanakan ibadah haji dari kerajaan Arab Saudi pada Ramadan ini.

“Ini kerana apabila memasuki Syawal, ia sudah dikira masuk dalam musim haji, jadi sudah tidak sesuai untuk memberikan keputusan pada ketika itu. Bagaimanapun kita tunggulah mereka (kerajaan Arab Saudi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, kerajaan Arab Saudi mengambil perkiraan pelbagai aspek terutamanya dari segi kesihatan, keamanan dan keselamatan para jemaah bagi menunaikan ibadah haji.

“Tabung Haji akan ambil cara positif dengan membuat persediaan mengikut kadar kemampuannya jika diizin dan dibenarkan menunaikan haji nanti,” katanya.

Beliau turut bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memberi kelebihan kepada jemaah Malaysia.

“Kalau ikut bilangan jemaah biasa kira-kira 31,000 dan ditambah dengan 10,000 kuota tambahan, bermakna lebih 40,000 jemaah. Bagaimanapun kita doa dulu sebab secara rasmi pertambahan kuota haji belum sampai lagi pada kami,” katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, seramai 218 pelajar asnaf UTM dari tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Pahang menerima bantuan komputer riba berjumlah RM750,000 dari Tabung Haji (TH).

Sumbangan tersebut merupakan inisiatif TH di bawah Program Iqra’ di mana UTM merupakan antara 14 universiti yang menerima bantuan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI