Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
PENGENDALI Terenggganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain ceria apabila percaturannya serba menjadi hingga membolehkan skuad Sang Penyu gah melemaskan Gergasi Merah 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.
Beliau berkata, dua pemain gantian telah memberi impak sebagai penjaring gol yang membawa kemenangan berharga tersebut.
“Kemasukan Rahmat Makasuf dan Hakimi Abdullah pada babak kedua berjaya menyuntik tenaga baharu ketika Selangor FC rancak memburu tambahan gol.
“Selepas mendahului 2-0, anak-anak buah saya cuba bertahan untuk mengekalkan kelebihan, namun hilang fokus sehingga Selangor cuba merapatkan kedudukan dengan menambah tekanan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Nafuzi berkata, bagaimanapun pemain-pemain kekal berdisiplin dan beliau kemudiannya melakukan pertukaran pemain sebagai keputusan taktikal.
Jelas beliau, pertukaran pemain berkenaan bertujuan untuk menambah tenaga pasukan untuk bertahan sambil melancarkan serangan balas yang kemudiannya berjaya menghasilkan jaringan ketiga pada masa kecederaan.
Dalam pada itu, Nafuzi turut memuji kemampuan skuad bimbingannya mendominasi pasukan lawan yang disifatkan lebih berpengalaman dan mempunyai kelebihan di atas kertas.
“Kita menang walaupun tanpa tiga tonggak import yang cedera iaitu Petrus Shitembi, David Da Silva dan Chris Herd.
“Jika dibandingkan, Selangor dibarisi ramai pemain kebangsaan selain tonggak import ternama tetapi TFC berjaya bermain lebih baik sebagai satu unit,” katanya.