SEOUL – Rakyat Korea Selatan dilaporkan mencatat waktu kerja yang jauh lebih panjang berbanding kebanyakan anggota Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) setakat laporan pada 2019.
Menurut laporan The Korea Herald kelmarin, laporan analisis daripada organisasi yang berpusat di Perancis itu berkenaan jumlah jam bekerja setiap tahun oleh 35 negara anggotanya, pekerja di Korea Selatan menduduki tempat kedua di belakang Mexico (2,137 jam setahun).
Kedudukan tempat kedua Korea Selatan tidak berubah sejak 2017 meskipun Presiden Moon Jae-in bertindak menyemak semula akta buruh bagi meletakkan negara itu di kedudukan lebih rendah.
Pekerja di Korea Selatan didapati meluangkan 1,967 jam setahun dalam pekerjaan masing-masing pada 2019, 241 jam melebihi purata jam bekerja yang ditetapkan OECD iaitu pada 1,726 jam.
Sebagai perbandingan, waktu kerja tahunan di Korea Selatan adalah 323 jam lebih lama daripada jumlah jam bekerja di negara jirannya, Jepun yang menunjukkan konsistensi purata tahunan waktu bekerja sebanyak 1,644 jam.
Pada 2017, Jae-in memperkenalkan garis panduan purata kerja mingguan sebanyak 52 jam mengikut skala gaji berbanding jumlah waktu bekerja mingguan sebanyak 68 jam sebelumnya.
Bagaimanapun, tindakan itu mengundang bantahan daripada pengusaha kecil tempatan yang mendakwa semakan semula ke atas Undang-Undang Piawaian Buruh memberi impak negatif kepada perniagaan mereka.
Ini kerana pemotongan waktu kerja terutama pada hujung minggu menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja dan menjadikan penghasilan produk mereka di tahap minimum.
Menurut sekumpulan penyelidik, situasi ini juga mewujudkan kemungkinan upah pekerja dibayar dengan kadar lebih rendah berikutan waktu bekerja mingguan yang dipotong oleh kerajaan.
Dalam masa sama, ada kumpulan penyokong yang bersetuju dengan jumlah kerja yang dipotong agar pekerja menikmati masa berkualiti dengan keluarga di hujung minggu.
Ini juga akan membuka lebih banyak peluang kepada pekerja sementara dalam mengisi ruang kosong yang ditinggalkan pekerja tetap dalam tempoh tertentu. – Agensi