fbpx

Polis rampas dadah hampir RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin Husain (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada barang rampasan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah bernilai kira-kira RM5 juta dalam serbuan di dua buah makmal memproses dan mengedar dadah di sekitar Cheras serta Sungai Besi pada 8 Mac lalu.

Bertindak atas maklumat yang diperolehi, Bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 6 Mac lalu kira-kira pukul 2.30 petang, pasukan operasi JSJN Bukit Aman telah membuat pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di sini.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil pemeriksaan polis merampas lima buah kotak lutsinar mengandungi tikar sejadah pelbagai warna untuk dihantar ke Indonesia mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 4.12 kilogram yang dikirimkan oleh seorang lelaki warga tempatan.

“Selepas siasatan dijalankan, pada 8 Mac lalu, seramai 13 individu ditahan dalam enam serbuan yang dilakukan di sekitar ibu negara dan Selangor.

“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan bahan-bahan kimia serta peralatan dipercayai untuk memproses dadah,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki serta seorang wanita warga tempatan termasuk seorang lelaki warga Taiwan.

“Sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak bulan November tahun lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan khidmat kurier untuk mengedar pelbagai jenis dadah ke Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Filipina dan New Zealand.” ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B AKta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama 7 hari bermula 8 hingga 14 Mac depan.

Tambahnya lagi, kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta.

Terdahulu, semalam media melaporkan satu sindiket dadah antarabangsa mengambil tindakan licik apabila menggunakan peralatan keagamaan termasuk sejadah dan al-Quran untuk menyeludup ketamin secara kurier ke luar negara.

Taktik sindiket terbabit terbongkar selepas pihak berkuasa Korea Selatan merampas kurier mengandungi ketamin dari Malaysia yang berselindung di sebalik peralatan keagamaan Buddha baru-baru ini sebelum memaklumkannya kepada JSJN Bukit Aman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI