EDINBURGH, Scotland – Dua pendaki baru-baru ini menemui bangkai pesawat yang terhempas di pergunungan Scotland ketika membawa 20 penumpang pada tahun 1948, lapor akhbar Daily Mail.
Bangkai kapal terbang itu ditemui dekat pekan Largs di Ayrshire Utara.
Pamela Aitken, 39, dan rakannya, Kathryn Gaffney, 53, menemui pesawat tersebut dan merakam suasana di lokasi penemuannya.
“Saya dan rakan menemui sebuah lagi bangkai pesawat di kawasan pergunungan tempatan,” katanya dalam rakaman berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook.
Bagaimanapun, Aitken dan Gaffney bukanlah individu pertama menemuinya kerana terdapat nama ‘Ray Purchase’ ditulis pada salah satu kepingan logam bangkai pesawat berkenaan.
Pesawat ditemui dua sahabat itu dipercayai milik syarikat Penerbangan British European bagi Penerbangan S200P yang terhempas di kawasan tersebut pada 21 April 1948, demikian menurut laporan akhbar The Daily Record.
Seramai 20 penumpang dilaporkan menaiki penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang London-Northolt menuju Lapangan Terbang Glasgow-Renfrew .
Siasatan terhadap insiden yang menyebabkan 13 penumpang cedera itu mendapati ia berpunca daripada kesilapan juruterbang.
Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook berkata: “Secara jujurnya, saya tidak tahu bangkai pesawat ada di kawasan pergunungan Scotland.
“Pada fikiran saya jurutera-jurutera akan mengalihkan bangkainya bagi menyiasat punca nahas,” katanya. – Agensi