fbpx

Kilang papan ceroboh tanah 20 tahun dirobohkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proses perobohan struktur binaan kilang papan yang menceroboh tanah kerajaan negeri sejak 20 tahun lalu di Jalan Jeti Pelabuhan Klang, Klang hari ini.

KLANG – Tindakan sebuah kilang papan yang didapati terus berdegil beroperasi di atas dua lot tanah milik kerajaan selama 20 tahun di Jalan Jeti Pelabuhan Klang di sini akhirnya berakhir apabila dirobohkan pihak berkuasa, hari ini.

Perobohan itu dilakukan pukul 10 pagi terhadap kilang yang disyaki turut terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram, pencemaran sungai dan bau pada November 2018 itu hasil aduan orang awam.

Penolong Pegawai Daerah Klang (Teknikal dan Penguatkuasaan), Mohamad Saiful Azri Mohd. Fouzi berkata, siasatan mendapati keseluruhan tanah yang diceroboh adalah 0.7 hektar bagi pembinaan kilang papan dan binaan stor, rumah pekerja dan pondok sembahan.

Katanya, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan tiga Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan yang dikeluarkan pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari 2021 mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965.

“Pemilik kilang ini didapati terus berdegil untuk merobohkan struktur binaan di tanah tersebut walaupun telah mendapat tiga notis berkenaan.

“Mereka menggunakan program pemutihan yang beberapa kali diadakan kerajaan negeri sejak 2008 dan berakhir hujung tahun lalu sebagai alasan untuk berpindah,” katanya kepada pemberita di lokasi perobohan hari ini.

Operasi tersebut dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPK, Aleya Marini Darmin memberitahu, tanah dicerobohi kilang itu sepatutnya didirikan kawasan perumahan atau penempatan sesuai dengan Pelan Rancangan Tempatan MPK.

“Sepatutnya setiap binaan yang didirikan memerlukan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak MPK. Namun perkara ini gagal dilakukan oleh pihak pemilik.

“Pemilik kilang tersebut dan mereka yang bersubahat boleh berdepan penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM 500,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 425 dan 426A KTN, sekiranya disabitkan kesalahan,” tegasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI