PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan berusaha mengenali serta mendekati sukan dan persatuan sukan kebangsaan selepas dilantik menjadi Chef De Mission (CDM) pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Kata Hamidin, pemahaman terhadap 40 jenis sukan yang bakal dipertandingkan perlu dikuasainya dengan bertemu wakil persatuan sukan yang bakal menyertai temasya sukan dwitahunan terbesar Asia Tenggara pada November depan.
“Ini adalah amanah serta tanggungjawab yang berat selaku CDM ke Sukan SEA 2021, saya perlu pastikan setiap atlet dan pasukan bertanding di Hanoi berada pada tahap tinggi dari segi semangat dan persiapan mereka nanti.
“Ini memerlukan kerjasama erat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Sekretariat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa kontinjen ini pada November depan dalam keadaan terbaik.
“Mengenai sukan yang akan disertai kontinjen negara, senarai jumlah atlet dan sasaran pingat hanya akan putuskan kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Hamidin mengakui cabaran utama ketika ini yang perlu diperhalusi adalah memastikan kontinjen negara mengikut norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) khas selepas seluruh dunia dibelenggu pandemik Covid-19.
“Pengalaman berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengembalikan bola sepak diharap dapat membantu mempersiapkan kontinjen dalam segala kemungkinan.
“Saya jangka semua atlet dan pegawai akan dapat vaksin sebelum bertolak ke Hanoi secara berperingkat sekali gus meningkatkan paras keyakinan mereka untuk bertanding,” katanya.
Pada majlis tersebut, Pengurus Besar MOM, Norhashimi Hussain turut menyerahkan surat pelantikan CDM kepada Hamidin.