fbpx

Gadis Asia jadi Puteri Disney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAYA and the Last Dragon membawa gambaran keunikan budaya dan simbol keagungan masyarakat Asia Tenggara.

SELEPAS beberapa bulan vakum daripada sebarang aktiviti di pawagam, Jumaat lalu penulis akhirnya dapat ke pawagam diajak menonton filem terbaharu Walt Disney Studios Motion Pictures berjudul Raya and the Last Dragon.

Lama terkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, entah mengapa berkunjung ke pawagam yang terletak di GSC 1 Utama, Petaling Jaya tempoh hari memberi nilai sentimental luar biasa. Masakan tidak, kalau dahulu sebelum Covid-19 meliar, boleh kata setiap minggu ada sahaja tayangan perdana filem baik karya tempatan mahupun antarabangsa.

Bercakap tentang Raya and the Last Dragon, naskhah berkenaan sebuah lagi mahakarya kelahiran Disney.

Bukan kerana filem tersebut mengangkat budaya negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, karya arahan Don Hall dan Carlos López Estrada itu sememangnya memiliki kualiti tersendiri.

Umum tahu kualiti animasi Disney sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Aspek tersebut juga diterjemahkan dengan cukup baik dalam filem kali ini. Secara peribadi, gambaran visual yang dijayakan setiap karakter termasuk dunia fiksyen bernama Kumandra dan lima bangsa atau negara iaitu Fang, Heart, Tail, Spine dan Talon amat menghiburkan.

WATAK naga yang akhirnya menjadi ‘kenderaan’ Raya bernama Tuk Tuk mengambil inspirasi daripada pengangkutan popular popular di Thailand.

Sejujurnya, sebelum diberi peluang menonton, penulis beranggapan naga-naga fiksyen dalam filem tersebut akan akan divisualkan dengan sebesar-besar atau semegah-megahnya namun sangkaan tersebut meleset.

Bagaimanapun, semua itu tidak melonglaikan jangkaan dan motivasi sepanjang tontonan.

Naga-naga dalam Raya ‘dikembangkan’ secara perlahan-lahan sehingga mencapai tahap maksimum walaupun tidak bersosok mega seperti yang selalunya divisualkan.

Watak naga bernama Sisu yang dijayakan Awkwafina sangat bertepatan. Dia mempunyai darah Asia secara realiti dan vokalnya yang serak-serak basah pasti membuatkan ramai sukar untuk melupakan karakter berkenaan.

Terlanjur bercakap tentang perkembangan karakter, penulis juga kagum dan tertarik dengan watak Raya yang meminjam lakonan suara Kelly Marie Tran.
Raya merupakan watak fiksyen puteri dari Asia Tenggara, sekali gus menjadi ikon kanak-kanak ASEAN pertama seumpamanya yang divisualkan dalam sebuah karya Disney.

WATAK Raya menzahirkan semangat puteri fantasi kanak-kanak Asia.

Budaya, karakter

Menerusi Raya, banyak perkara yang memberi representasi budaya dan adat resam Asia Tenggara. Bukan sahaja dari segi busana, kesopanan dan makanan tradisi, banyak perihal lain yang turut diselitkan seperti nama Raya itu sendiri boleh dikaitkan dengan Malaysia atau Indonesia.

Watak ‘kenderaan’ Raya bernama Tuk Tuk mengambil inspirasi daripada kenderaan pengangkutan yang menjadi pilihan ramai Thailand.

Penonton juga boleh menjangka Raya dan rakan-rakanya menikmati juadah popular di Asia Tenggara seperti tom tam, sate dan sebagainya.

Filem animasi Disney yang baik akan membuatkan penonton pulang dengan pengajaran dan nilai-nilai yang baik.

Itu yang ditinggalkan Raya and the Last Dragon. Jangan disebabkan ketamakan dan kebobrokan untuk mengejar kuasa serta pengaruh, keamanan tergadai.

Jangan juga dibiarkan watak bernama Druun merobek keamanan yang sebenarnya boleh digapai seandainya manusia menolak segala sifat mementingkan diri sendiri.

Seperkara lagi, benarlah Bumi boleh menjadi sebuah planet yang boleh menyaksikan betapa pengkhianatan boleh berlaku tanpa mengenal siapa mangsa dan siapa pula pemangsanya.

Terkadang, apa yang perlu kita lakukan adalah memulakan langkah memberi kepercayaan kepada orang lain agar budaya itu diikuti orang sekeliling.

RAYA mempunyai tanggungjawab menyelamatkan dunia selepas bapanya turut terkena sumpahan daripada makhluk jahat bernama Druun.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI