KOTA BHARU – Dua lelaki warga Kemboja yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memburu haiwan secara haram di negeri ini ditahan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, kelmarin.
Berita penangkapan suspek itu dikongsikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi laman sosial Facebook agensi itu hari ini.
Menerusi perkongsian itu, kedua-dua suspek ditahan selepas didapati membawa 19 keping sisik tenggiling yang disimpan tanpa kebenaran yang sah oleh Perhilitan.
Selain itu, beberapa peralatan mencari kayu gaharu turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan terhadap mereka.
Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kes itu dan semua barang kes telah dibawa ke Perhilitan Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai tangkapan itu.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) 2010.
“Memiliki bahagian hidupan liar iaitu sisik tenggiling tanpa permit atau dokumen yang sah oleh Perhilitan merupakan satu kesalahan berat,” katanya. -K!ONLINE