IPOH – Selepas sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini bulan lalu atas tiga pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan berjumlah RM12,867.30, hari ini dua rakan subahat mereka turut didakwa atas pertuduhan sama.
Pong Chin Yau, 55, dan rakan lelakinya, Chan Cheh Shin, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka bersama dengan dua lagi individu yang telah dituduh didakwa menipu Hoi Kim Than, 58, dengan menawarkan pulangan pelaburan Bancus Coint yang tinggi sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM4,366.50 ke dalam akaun syarikat tertuduh melalui RHB Bank Cawangan Menglembu, Ipoh pada pukul 1.45 petang, 14 November 2019.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa atas dua tuduhan sama iaitu menipu Leong Mei lai, 44, membabitkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 di Public Bank Cawangan Jalan Besar Pasir Puteh dan Jalan Pasir Puteh, Taman Pengkalan Jaya di Ipoh antara pukul 1.34 hingga 1.48 petang, 1 Mei 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Mohd. Yusof manakala Chin Yau pula diwakili peguam, M. Mahendra dan Ravi Nekoo pula mewakili Cheh Shin yang merupakan warga Singapura.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,500 dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes.
Pada 2 November lalu melaporkan pasangan suami isteri, Chai Koon Shong, 44, dan Ng Kah Lai, 46, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menipu mangsa yang serupa.-K!ONLINE