fbpx

Bukan hanya sihir, banyak isu lain – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARA Zya terpaksa menutup perniagaannya yang dibuka tahun lalu atas beberapa faktor.

PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya menjelaskan setiap perniagaan pasti ada pasang surutnya dan  memilih untuk tidak menyalahkan ilmu hitam sepenuhnya meskipun restoran yang diusahakannya terjejas.

Zara berkata, banyak faktor yang membuatkan dia menutup sementara waktu perniagaannya, namun dia tidak pernah patah semangat untuk meneruskan bisnes.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan saya untuk menutup kedai sementara waktu. Bukan kerana sihir semata-mata, sebaliknya keadaan semasa negara yang berdepan pandemik turut memainkan peranan.

“Restoran Zara Zya Cooks berdekatan dewan untuk majlis dan acara, namun terpaksa ditutup bagi mencegah virus Covid-19. Secara tidak langsung memberi kesan kepada restoran saya juga.

“Saya tidak pernah membuat keputusan menutup terus restoran, sebaliknya menggunakan perkataan ‘sementara waktu’ kerana peminat dan orang ramai sering bertanya terutama dalam media sosial,” kata Zara.

Restoran yang terletak di Shah Alam, Selangor mula diusahakannya sejak tahun lalu tetapi terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi mencari lokasi baharu yang lebih strategik.

Sebelum ini, pelakon drama Seadanya Aku itu pernah membuka kedai makan di medan selera sebuah pusat beli belah di ibu kota, kemudiannya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Terdahulu, Zara menerusi program Melodi dua minggu lalu mendedahkan restoran yang diusahakan bersama teman lelakinya terpaksa ditutup gara-gara terdapat unsur mistik seperti sihir.

Selain perniagaan, Zara turut berkongsi rezeki menerusi dana Zara Prihatin sejak tahun lalu.

“Pada Isnin depan, saya dan pasukan Zara Prihatin akan turun padang bagi membantu dua individu yang telah dipilih kerana keadaan mereka.

“Saya tidak mahu menghentikan dana ini kerana ramai yang memerlukan bantuan lebih-lebih dalam keadaan sukar sekarang.

“Ada yang kehilangan kerja. Ada juga yang berdepan masalah kesihatan ketika berdepan pandemik. Saya memilih untuk meniaga kek pisang bagi disalurkan kepada tabung dana Zara Prihatin,” kata Zara.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Zara baru saja selesai penggambaran sitkom Kg. Peel yang turut menampilkan Roy Azman, Atu Zero dan ramai lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI