fbpx

Bila handalan muda tidak diperam lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Malaysia nyaris menanggung aib apabila satu per satu pemain utamanya tumbang dalam kejohanan badminton Terbuka Switzerland minggu lalu ketika ketiadaan skuad China, Jepun dan Korea Selatan.

Mujurlah ada kilauan mutiara beregu muda, Pearly Tan Koong Le dan M. Thinaah yang bukan sahaja menyelamatkan Malaysia tapi juga maruah Asia apabila kejohanan itu dimonopoli pemain Eropah termasuk pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark yang menjuarai perseorangan lelaki.

Pemain bukan pilihan, Pearly-Thinaah dianggap melakukan kejutan apabila menewaskan pilihan ketiga dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12.

Pasangan bersaudara Stoeva boleh dianggap beregu wanita paling digeruni dari Eropah.

Duo berbahaya Bulgaria itu telah memalukan pemegang pingat emas Olimpik Rio dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsutomo dengan menewaskan mereka bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut pada kejohanan Terbuka Perancis dan Terbuka China Fuzhou 2019.

Pasangan Stoeva jugalah yang menyingkirkan pilihan pertama kejohanan Terbuka Switzerland ini iaitu beregu utama Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Terdahulu Pearly-Thinaah mengejutkan beregu No. 9 dunia dari Korea Selatan, Chang Ya Na-Kim Hye Rin pada Terbuka Thailand Januari lalu. Pearly, 20, yang beraksi dalam beregu campuran bersama Man Wei Chong turut menundukkan beregu kelima dunia dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada Masters Malaysia 2020.

Menyoroti prestasi Pearly yang merupakan beregu wanita nombor dua remaja dunia bersama Toh Ee Wei sebelum ini, peminat-peminat badminton gusar sekiranya keupayaan handalan muda ini tergendala, terhenti lalu tersia apatah lagi apabila Ee Wei menarik diri ekoran masalah sinus kronik.

Maklumlah, Malaysia bukan tidak pernah ada pemain hebat di peringkat remaja seperti juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli yang pernah menewaskan Axelsen di final dan Kento Momota di semi final.

Tetapi lihatlah apa yang terjadi kepadanya dan lihat juga di mana kedudukan Momota dan Axelsen hari ini.

Thinaah juga menakjubkan apabila meninggalkan kategori perseorangan untuk berganding dengan Pearly, sahabat akrabnya di luar gelanggang, namun mampu menunjukkan aksi jitu menyamai Pearly.

Seharusnya handalan dari peringkat remaja segera diberi ruang beraksi dalam kejohanan-kejohanan agar mereka dapat mengumpul mata dan tidak ketinggalan menyaingi jaguh dunia.

Itulah juga formula Thailand mengekalkan prestasi juara-juara remaja dunianya sehingga dewasa misalnya Ratchanok Intanon mahupun Kunlavut Vitidsarn, 19, iaitu juara remaja dunia 2019.

Justeru langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan beberapa nama besar sebenarnya langkah wajar kerana tiada gunanya hebat pada ranking tetapi pencapaian statik berpanjangan hingga merencat kemaraan pemain muda berpotensi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI