PUTRAJAYA – Berada di perantauan seorang diri tanpa anak dan suami bukan satu perkara yang diinginkan seorang ibu dan isteri, namun ia terpaksa dilakukan demi satu impian.
Itu pengorbanan dilakukan Salwa Mohd. Saleh, 37, ibu kepada empat anak lelaki berusia empat hingga 12 tahun yang kini berada di London sejak Disember lalu bagi menyambung pengajian.
Apa yang lebih menyedihkan, tiga daripada anaknya masing-masing berusia 7, 10 dan 12 tahun adalah ‘anak istimewa’ dan memerlukan perhatian rapi kerana menghidap masalah berkaitan pembelajaran dan austisme.
Salwa yang juga jurulatih bidang keusahawan berkata, dia kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang inklusif dan pendidikan khas di University College London (UCL).
“Saya berada di London sejak Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada September ini selepas tamat pengajian.
“Impian saya adalah mahu mendalami ilmu pendidikan khas demi masa depan tiga anak istimewa saya itu. Ini adalah pengorbanan yang terpaksa saya lakukan demi mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Salwa berkata, buat masa ini, anak-anak berada di bawah jagaan suami, Dr. Khairil Idham Ismail, 37, yang kini sedang bercuti bagi melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran di universiti tempatan.
Menurutnya, anak sulung mereka, Imran Khairil Idham, 12, mempunyai masalah pembelajaran dan anak kedua, I’jaaz Khairil Idham, 10, pula mengalami disleksia dan masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).
Tambahnya, anak ketiga mereka, Israa’ Khairil Idham, 7, pula adalah penghidap sindrom lewat perkembangan menyeluruh (GDD) dan autisme.
Dia turut menasihatkan ibu bapa di luar sana yang senasib dan mempunyai anak istimewa sepertinya supaya terus bangkit dan tidak berasa rendah diri dan rasa terbeban.
“Mereka adalah hadiah daripada Allah S.W.T kepada kita. Jika rasa tertekan dan sedih, menangislah sepuasnya dan selepas itu, terus bertahan demi masa depan kerana tiada orang lain yang dapat mengubah mereka melainkan kita sendiri,” katanya.