PETALING JAYA – Seramai 242 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 240 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala dua individu telah direman.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat sebanyak 70,009 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Seramai 3,623 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,195 anggota telah membuat pemantauan di 6,055 buah restoran, pasar raya (4,706), bank (2,960), penjaja (4,340), pasar awam dan tani (128), kilang (2,453) dan pejabat kerajaan (1,090),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, turut dipantau ialah tempat ibadah (233), tempat riadah (18,660), terminal pengangkutan darat (3,424), terminal pengangkutan air (1,784) dan terminal pengangkutan udara (1,155).
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod diri (88), tidak memakai pelitup muka (66), tiada penjarakan fizikal (46) dan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (33),” ujarnya.
Dalam pada itu, operasi Benteng semalam juga telah berjaya menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan jenis darat serta satu kapal.
“Pihak berkuasa turut berjaya mengesan sebanyak 86 buah bot serta kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan. Operasi yang melibatkan pelbagai agensi itu juga telah menjalankan 264 sekatan jalan raya (SJR) semalam,” katanya. – K! ONLINE.