LONDON – Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di England telah mendapat kelulusan untuk menggunakan ubat termahal di dunia dengan setiap dos berharga sekitar £1.8 juta (RM10.2 juta) di pasaran, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Kelulusan tersebut bermakna hampir 80 kanak-kanak dalam setahun yang dilahirkan menghidap penyakit kegagalan fungsi otot, akan menerima rawatan yang bakal mengubah hidup mereka.
Ubat bernama Zolgensma itu hanya perlu digunakan sekali seumur hidup untuk merawat penyakit jarang berlaku itu yang dikenali sebagai atrofi otot spina. Penyakit itu boleh menyebabkan lumpuh dan kematian.
Zolgensma bertindak membentuk replika genetik yang hilang bagi memulihkan fungsi saraf dan otot sekaligus dapat membantu pesakit bernafas tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Mereka juga dikatakan boleh duduk tanpa bantuan, merangkak dan berjalan seperti kanak-kanak normal.
Walaupun rawatannya dilaporkan menelan belanja hampir £1.8 juta bagi setiap dos, NHS mendedahkan telah membuat ‘perjanjian tertutup’ yang membolehkan pesakit mendapatkannya pada harga lebih berpatutan.
Ketua NHS England, Sir Simon Stevens memuji perjanjian itu sebagai keputusan bersejarah yang akan membantu kanak-kanak di Britain. – Agensi