PETALING JAYA – Kecoh di media sosial sejak malam tadi mengenai satu rakaman video yang memaparkan sebuah kereta cuba lari dari ditahan oleh pihak berkuasa.
Melalui rakaman yang dikongsi sebuah akaun Twitter @MirzaAmirin, kelihatan kereta itu turut ‘melarikan’ seorang anggota pihak berkuasa yang berpaut di bahagian hadapan kenderaan itu.
Melalui hantaran itu, dakwanya, kereta tersebut dinaiki sepasang kekasih yang didakwa melakukan perkara tidak senonoh di kawasan tempat letak kereta di sebuah restoran makanan segera di Bangi.
Katanya, pihak berkuasa telah datang untuk memeriksa kenderaan itu sebelum pemandunya bertindak melarikan diri.
Sementara itu seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Irfan berkata, dia dan beberapa orang penghantar makanan restoran itu turut cuba menghalang pemandu itu tetapi tidak berjaya.
“Aku dengan geng rider dah cuba nak halang tapi tak lepas, apa-apa pun nombor pendaftaran dah dapat, polis dah kesan alamat pemilik kereta di mana,” katanya.
Katanya, pemandu itu kemudian memberhentikan kenderaan tersebut sebelum kembali memecut laju sebaik sahaja anggota pihak berkuasa itu turun dari kenderaannya.
“Polis itu ok. Nasib baik pemandu berhenti sebelum keluar jalan besar, polis tu turun terus dia pecut, lampu merah pun langgar,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu itu yang membahayakan nyawa orang ramai. – K! ONLINE