NAIB juara musim lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan sasaran tinggi dengan misi membolot kesemua tiga piala dipertandingkan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini yang akan bermula esok.
Ia bagi membuktikan TNB bukan sekadar ‘jaguh kampung’ dan kembali memahat nama antara gergasi hoki tanah air seperti dilakukan mereka dengan tiga kejuaraan MHL berturut-turut dari 2001 hingga 2003 serta tiga gelaran Piala TNB (2007, 2009 dan 2010).
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, sasaran tinggi itu juga disebabkan kelebihan mereka dari segi kombinasi disiplin, semangat, jati diri dan kekentalan jiwa pemain yang cukup tinggi.
“Seperti nama TNB yang makin gah di peringkat antarabangsa, kita bukan jaguh kampung. Pasukan-pasukan hoki kita pun perlu berdiri pada tahap yang sama.
“Tiada kurangnya TNB berbanding pasukan-pasukan pilihan yang bertanding meskipun tanpa penyertaan pemain-pemain import musim ini,” katanya pada majlis penyerahan jersi TNB dan TNB Thunderbolts di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu, ketua jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar berkata, ketiadaan tonggak import musim ini menjadikan persaingan merebut kejuaraan MHL, Piala Sumbangsih dan Piala TNB kembali terbuka kepada semua lapan pasukan bertanding.
“TNB selama ini menggunakan tenaga tempatan, namun ketiadaan pemain import memberi dimensi berbeza buat semua pasukan. Ini adalah tahun terbaik buat TNB merangkul trofi selepas kali terakhir memenanginya pada 2010 (Piala TNB),” jelasnya.
Tujuh lagi pasukan bertanding ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Maybank, TNB Thunderbolts, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabah dan Nurinsafi.
Bagi saingan wanita, enam pasukan akan bertanding iaitu PKS Uniten-KPT, UniKL Ladies, Blue Warriors, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Young Tigress dan Sabah.