GEORGE TOWN – Seorang wanita dan anak perempuannya mengadu hidup dalam ketakutan apabila mendakwa sering diganggu ah long yang menuntut hutang yang dibuat anak lelakinya yang dipercayai lebih setengah juta ringgit.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kang, 65, berkata, dia mula diganggu pada awal Februari lalu oleh sekumpulan lelaki yang mencari anak lelakinya, Yeoh, 38, supaya menjelaskan hutang.
Menurut Kang yang merupakan seorang peniaga, ah long berkenaan bertindak mengedarkan notis yang memaparkan gambarnya dan anak lelakinya itu di kawasan kejiranannya di Taman Riang, Butterworth dekat sini.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut mengganggu anak perempuannya, Cheng Ling, 35, menerusi aplikasi WhatsApp sambil mengugut supaya menjelaskan hutang abangnya itu.
“Kami langsung tidak tahu mengenai hutang-hutang yang dibuat Yeoh dan juga tidak tahu di mana dia berada kerana sudah melarikan diri.
“Kami juga telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Yeoh dan merayu ah long-ah long ini berhenti mengganggu dan mengugut kami,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan negeri di sini hari ini.
Menurut Kang, dia dan anak perempuannya sudah membuat laporan polis berhubung gangguan itu pada 1 dan 3 Mac lalu dan berharap pihak berkuasa dapat bertindak menghalang ah long tersebut daripada terus mengganggu mereka.
Katanya, dia difahamkan anak lelakinya itu yang bekerja sebagai pembekal sayur di Butterworth meminjam dengan beberapa ah long dengan jumlah di antara RM500,000 hingga RM600,000 untuk berjudi online.
Sementara itu, Cheng Ling berkata, dia juga bimbang dengan keselamatan dua anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun selepas ah long tersebut turut mengugut menggunakan gambar keluarganya yang diambil menerusi Facebook.
Hadir pada sidang akhbar itu, Naib Pengerusi Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng. – K! ONLINE