PETALING JAYA – Sebanyak 75 aktiviti pelacuran antara yang dikesan dalam pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain dikesan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (28), tidak memakai pelitup muka (49) serta premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (9).
“Turut dikesan kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (129), aktiviti pusat hiburan (82) dan tiada penjarakan fizikal (79).
“Seramai 451 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 393 dikompaun manakala 58 direman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, semalam Task Force Operasi Pematuhan SOP PKP membuat 69,230 pemeriksaan termasuk ke atas 211 tempat ibadah.
Menurut beliau, turut diperiksa tempat riadah (17,012), restoran (6,318), pasar raya (4,617), bank (2,703) dan penjaja (4,133).
Tambah beliau, sebanyak 156 buah pasar awam dan tani, kilang (2,148), pejabat kerajaan (1,217), terminal pengangkutan darat (3,469), terminal pengangkutan air (1,772) dan terminal pengangkutan udara (1,885) turut diperiksa.
Sementara itu, katanya, seramai 5,036 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu seramai 88 daripada mereka didapati positif jangkitan wabak tersebut.
Beliau turut memaklumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R, Sibu, Sarawak ditamatkan bermula esok.
“Baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya. – K! ONLINE