fbpx

Pabila amarah atasi kewarasan akal fikiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK akhir-akhir ini, media sosial sering dibanjiri dengan pelbagai perkongsian video tular yang memaparkan kisah-kisah ketidakpuasan hati, kemarahan dan tekanan perasaan insan bergelar manusia.

Tidak kiralah video mengenai pergaduhan, salah faham, ejek-mengejek dan ada juga segelintir insiden yang melibatkan berlakunya kecederaan serta pertumpahan darah.

Minggu lalu, kecoh dan tular di media sosial mengenai tindakan seorang penunggang motosikal memukul seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang juga pemandu teksi di Damansara, Selangor.

Video berdurasi 1 minit 28 saat itu menunjukkan tindakan lelaki tempatan berusia 46 tahun melepaskan amarah itu seakan-akan sedang dirasuk makhluk halus.

Siasatan awal polis mendapati pergaduhan tercetus apabila penunggang motosikal rakyat tempatan itu membunyikan hon kepada pemandu teksi juga rak­yat tempatan kerana memotong laluan secara melulu tanpa memberikan isyarat.

Setibanya di lampu isyarat, penunggang motosikal itu telah menegur pemandu teksi kerana memandu secara berbahaya.

Lelaki itu juga mengetuk cermin pemandu teksi itu supaya berhenti dan menyelesaikan perkara tersebut sebelum warga emas itu didakwa mengeluarkan besi pengunci stereng dan berlaku pertengkaran antara me­reka.

Penunggang motosikal terbabit merampas besi pengunci stereng dan memukul lelaki ber­kenaan.

Persoalan yang tercetus di minda penulis dan juga pelayar internet yang menonton video tersebut, mengapa kejadian itu berlaku, sedangkan ia boleh dise­lesaikan secara baik.

Di manakah hilang dan le­nyap­nya budi bicara?

Pakar psikologi, Prof Dr. Maria­ni Md. Nor berkata, amarah berlaku apabila ego tercabar dan masing-masing tidak mahu me­ngalah.

“Dalam kes itu, penunggang motosikal mahupun pemandu teksi mempunyai sikap mementingkan diri sendiri dengan egosentrik yang tinggi dan tidak mahu bertolak ansur.

“Ia menyebabkan terjadinya emosi yang menguasai ruang berfikir sekali gus hilangnya kewarasan akal,” katanya kepada Kosmo!.

Senada dengan Dr. Mariani ialah pakar Psikologi Khidmat Kaunseling Access, Dr. Meriam Omar Din yang berpendapat, manusia secara fitrahnya dikurniakan pelbagai nafsu termasuk marah.

Pun begitu katanya, sifat amarah itu tidak boleh dilayan atau dibiarkan berleluasa, sebaliknya ditundukkan dengan cara bersabar dan bertolak ansur sesama manusia.

“Sikap bertolak ansur hanya boleh terjadi apabila ada perbincangan yang berlangsung dengan akal yang stabil dan perasaan marah yang tidak bermaharajalela.

“Kurangkan dan turunkan se­rendah-rendahnya ego dan amarah yang timbul dengan menjadikan kesabaran sebagai pegangan utama,” ujarnya.

Ujar Meriam lagi, dalam konteks yang dibincangkan, jangan sesekali ada sangkaan bahawa pelaku tidak akan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa atas perilaku dan perbuatan ganas yang dilakukan.

Tambahnya, sebagai manusia yang bersifat sementara hidup di muka bumi ini, elakkan diri daripada dikawal dengan sifat dendam dan amarah agar kehidupan yang dilalui dapat dijalani penuh makna.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI