BAGI memastikan kehidupan atlet-atlet negara terjamin apabila bersara selepas mengerah keringat membawa negara ke persada antarabangsa, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhasrat mengembangkan skim pencen kepada atlet yang tidak terlibat dalam Sukan Olimpik.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perluasan skim itu penting bagi memastikan bakal atlet yang memilih bidang sukan sebagai satu karier selepas ini lebih terjamin.
Jelasnya, perkara itu masih berada dalam fasa perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Paling penting sekali adalah kita mahu wujudkan skim ini sebagai pilihan kepada atlet untuk memastikan kehidupan mereka terjamin selepas bersara terutama atlet sukan bukan Olimpik.
“Kita tidak mahu bakal atlet yang mewakili negara satu hari ini ada perasaan berbelah bahagi mengenai pilihan karier jika tiada jaminan masa depan.
“Saya rasa pendekatan kita buat hari ini adalah untuk menentukan ada jaminan buat mereka jika kita menghadapi keadaan seperti pandemik seperti ini,” katanya selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Kuala Lumpur semalam.
Awal Disember tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu, KBS merancang untuk memperluaskan skim pencen kepada atlet yang layak ke Sukan Olimpik.
Dalam perkembanga lain, Mohamad Norza mengumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA 2021 di Hanoi yang akan bermula November depan.
“Sebagai seorang pemimpin dalam satu organisasi besar sukan seperti FAM, kita perlukan seorang pemimpin yang tahu segala proses dari segi pentadbiran, pemilihan atlet selain berpengalaman luas.
“Walaupun Sukan SEA kita anggap sukan persahabatan tapi kita selalunya hantar kontinjen besar. Ini melibatkan seorang pemimpin yang mempunyai daya kepimpinan tinggi untuk menjaga kontinjen negara,” ujarnya.