MADRID – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez memberi bayangan bahawa dia akan kembali semula ke litar lebih cepat untuk bersama Repsol Honda selepas mendedahkan keadaan tangannya semakin baik berbanding sebelum ini.
Melalui laman rasmi Repsol Honda, pelumba Sepanyol itu merasakan bahawa lengan kanannya dalam keadaan normal jika dibandingkan sebulan lalu.
Melihat keadaan tersebut, Marquez merasakan ada harapan untuknya kembali lebih awal untuk bersaing semula bersama pasukannya.
Sebelum ini, 28 tahun itu menolak untuk menjalani ujian rasmi di Qatar pada minggu lalu kerana enggan mengambil risiko.
“Perkara paling utama ketika ini keadaan saya bertambah baik setiap hari. Ketika menjalani latihan di gimnasium saya dapat rasakan lengan kanan saya cukup kuat seperti lengan kiri.
“Petanda positif kerana saya berharap mampu kembali menunggang jentera. Saya dapat rasakan perbezaan sebulan yang lalu kerana ketika itu saya sukar untuk membuka pintu, mandi mahupun untuk makan menggunakan tangan kanan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Marquez juga mengakui dia ketika ini sedang bertarung dengan mental serta fizikal untuk memastikan keadaan benar-benar pulih daripada kecederaan tersebut.
“Saya cuba melakukan kerja yang lebih berat dan saya rasakan kekuatan di lengan saya malah kurang rasa kesakitan di bahagian tersebut.
“Sudah pasti pasukan juga tidak sabar untuk saya bersama mereka tetapi kita akan tengok hari demi hari bagaimana keadaan saya. Jika benar-benar pulih saya tidak akan terus ke MotoGP tetapi saya akan cuba menjalani latihan menunggang jentera yang lebih kecil terlebih dahulu,” ujarnya. – AGENSI