fbpx

Lelong cara moden di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Khusyuk menonton jualan barangan kemas dan juga pakaian secara maya baru-baru ini membuatkan penulis hampir tergoda membeli-belah melalui promosi menarik yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Pandai sungguh pengendali sesi jualan ‘lelong’ itu menawarkan harga barangan yang dihadkan dalam tempoh setengah jam sahaja.

Pengendali jualan yang rata-ratanya si gadis manis begitu berani, cekap, memahami tentang ciri produk, warna, saiz serta kehendak pelanggan yang menonton selain petah berkata-kata, bergurau dan sabar melayan kerenah pelanggan ketika itu.

Tidak cukup dengan tawaran harga jualan yang sangat murah daripada pasaran semasa, syarikat tersebut turut mengecualikan kos penghantaran dan memberi cenderahati lain bagi menarik minat pelanggan untuk terus setia menunggu sehingga habis sesi jualan.

Berpeluang menemu bual usahawan yang menganjurkan sesi jualan secara maya baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa ini adalah kaedah terbaik untuk syarikat mengurangkan lambakan stok sedianya.

Menurut beliau, persekitaran ekonomi yang sukar sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada suku pertama tahun lalu telah mengakibatkan jualan secara offline di butiknya menyusut teruk.

Jelasnya, faktor masa adalah penting untuk memastikan ramai pelanggan mengikuti sesi jualan tersebut dan selalunya mereka akan memilih waktu rehat pelanggan iaitu selepas waktu bekerja dan juga selepas pukul 10 malam.

Syarikat juga perlu memiliki stok produk yang banyak dengan pelbagai pilihan yang dapat memenuhi pertanyaan pelanggan.

“Jika kena pada masa, tarikhnya, terutama dalam minggu gaji dengan tawaran harga yang sangat menarik, kami boleh menjana jualan sehingga RM50,000 dalam tempoh setengah jam sahaja,” ujarnya.

Kisah sebuah lagi syarikat pengeluar produk penjagaan kecantikan yang turut menggunakan gimik promosi kreatif secara maya untuk prapelancaran produknya telah menyumbang hasil lumayan kepada syarikat.

Menurut pengasas produk tersebut, seminggu sebelum tarikh pelancarannya, syarikat telah melancarkan pelbagai gimik promosi pengenalan kepada pelanggan setianya bagi memaklumkan mengenai produk baharu itu.

“Bila tiba hari pelancaran yang ditunggu, lima minit setelah ditawarkan di platform media sosial, produk tersebut habis dijual dan kami berjaya mencatat jualan hampir RM100,000,” ujarnya sambil menambah akan meneruskan inisiatif tersebut untuk pelancaran produk baharu sebelum hari raya ini.

Tiada alasan lagi bagi usahawan untuk tidak berusaha bangkit bagi meneruskan kelangsungan hidup atau mungkin, mereka lupa terhadap aset bernilai dan kreativiti dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Jika dahulu peniaga bumiputera terkenal kerana tidak pandai dalam bidang pemasaran sehingga terpaksa menggunakan khidmat orang tengah, tetapi kini platform media sosial yang tiada sempadan telah terbentang luas untuk usahawan menerokanya dengan cara tersendiri.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI