IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Taiping menyita 957 tong gas petroleum cecair bernilai RM139,594.40 dalam serbuan di sebuah premis di Simpang, Taiping semalam.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan pada pukul 10 pagi itu dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan yang dilakukan selama tiga minggu.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi itu mendapati terdapat sebuah treler membawa muatan silinder gas petroleum cecair diparkir di hadapan premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik lori disyaki telah memindahkan tong gas petroleum cecair ke tempat yang tidak
dilesenkan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM139,594.40 membabitkan 957 tong gas yang mengandungi 12,576 kilogram gas petroleum cecair,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun dan kesalahan yang berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. K! ONLINE.