PELAYARAN Sarah Suhairi di lautan seni tidaklah semudah yang disangka.
Percubaan demi percubaan dilakukan untuk terus berada dalam industri bukan hanya untuk kekal diingati tetapi juga bagi mengukuhkan sebuah portfolio bernama kerjaya.
Menelusuri perjalanannya, Sarah atau nama lengkapnya Sarah Suhairi sudah mencuba pelbagai genre muzik.
Berbeza dengan rakan seangkatan lain yang hanya fokus terhadap satu aliran muzik.
Malah, anak kelahiran Rawang, Selangor itu memberitahu dia tidak malu untuk mengakui sedang mencari rentak dan identiti diri meskipun sudah empat tahun membawa nama sebagai penyanyi.
Versatil
Menurut si genit yang petah berbicara itu, pelbagai genre sudah dicubanya seperti balada, pop dan rap, namun kepuasannya belum mencapai tahap maksima.
“Saya seorang yang susah hendak puas dengan apa yang dilakukan terutama berkaitan muzik.
“Biarpun orang kata suara saya sedap menyanyikan lagu balada dan mahu terus menghasilkan genre sebegitu, saya tetap ingin mencuba aliran muzik lain.
“Bukan kerana tamak tetapi mahu mencari kepuasan yang sebenar,” ujarnya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dia yang pernah popular menerusi lagu Pedih sekitar 2018 itu bagaimanapun tidak pernah memandang rendah mana-mana genre muzik.
Sarah bahkan enggan mengambil pusing sekiranya ada yang menggelarkan diriya tidak beridentiti.
“Sebagai penyanyi, saya mahu menjadi seorang penghibur yang versatil.
“Biarlah orang nak cakap saya tiada identiti sendiri. Realitinya, saya masih setahun jagung dalam industri dan berilah peluang kepada saya untuk meneroka lebih banyak genre,” ujarnya yang turut mengimpikan merakam lagu irama Malaysia suatu masa nanti.
Mengimbau kembali memori ketika menyertai Big Stage musim pertama, namanya pernah menjadi bualan ramai malah tular selepas dia mendendangkan lagu kumpulan K-pop terkenal, Blackpink iaitu Ddu-Ddu Ddu-ddu.
Lagu K-pop
Sejak dari detik tersebut, ramai yang mula membuat permintaan agar Sarah dapat menghasilkan lebih banyak lagu bernuansa K-pop.
“Ramai yang membuat permintaan agar saya muncul dengan lagu berentak K-pop. Kata mereka, saya lincah menari dan sebutan pun jelas. Sebenarnya single kedua saya, Nyawa & Raga ada sedikit elemen K-pop tetapi dalam bahasa Malaysia.
“Kalau boleh, peminat mahukan lagu dalam bahasa Korea. Untuk saya, bukan tidak mahu tetapi risau pula dikecam peminat fanatik K-pop tambahan pula sekarang, mereka sangat lantang mengkritik dalam media sosial,” katanya.
Tambahnya, kelantangan peminat fanatik selebriti K-pop menjadi antara penyebab dia masih belum terbuka hati untuk melancarkan single dalam bahasa Korea.
“Kadangkala risau pula nak keluarkan single Korea, takut teruk dikritik teruk peminat K-pop.
“Jadi, saya tunda dulu hasrat tersebut buat sementara waktu. Biarlah saya cari kekuatan vokal sebelum lancarkan lagu dalam bahasa asing,” tuturnya.
Mungkin
Berkongsi lanjut mengenai karier seninya, Sarah baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Mungkin, sekali gus menjadi single keempatnya.
Lagu berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Ariff Bahran, Rinkarnaen dan Zack Merican.
Berbicara mengenai Mungkin, juara Big Stage musim pertama itu gembira dan bersyukur lagu berkenaan akhirnya dilancarkan.
Kongsinya, lagu tersebut berkisarkan penyesalan seorang wanita tentang kesilapan masa lalu.
“Sejujurnya, melodi Mungkin sangat kena dengan jiwa. Liriknya juga sarat emosi.
“Setakat ini, sambutan yang diberikan peminat sangat baik. Harap dapat jalinkan lagi kerjasama dengan mereka bertiga lagi,” tutupnya.