fbpx

Empat ahli Geng Farid Kancil Silver dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsudin (tengah) menunjukkan dadah dan sebahagian barangan yang dirampas selepas menahan ahli Geng Farid Kancil Silver di Sik kelmarin.

BALING – Polis menahan empat lelaki tempatan dipercayai ahli Geng Farid Kancil Silver yang disyaki terlibat dalam kes samun dan ragut selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Danglau, Mukim Sok di Sik dekat sini, kelmarin.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil maklumat dan soal siasat ke atas empat suspek itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan kira-kira pukul 5.35 petang, hari sama.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, polis pergi ke sebuah ladang kelapa sawit di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang dekat sini pada keesokan harinya dan merampas sebuah kereta Perodua Kancil yang dilaporkan hilang di Alor Setar.

“Kita juga merampas sebuah kereta jenis Hyundai yang dilaporkan hilang di Sungai Petani tetapi ditinggalkan di Sik kerana terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di sini hari ini.

Kata beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave, pisau, pelbagai jenis telefon bimbit, topi keledar, jaket, kad pengenalan dan kad bank mangsa samun serta dadah heroin seberat 44.22 gram dan syabu 10.40 gram.

Shamsudin berkata, empat daripada lima suspek mengaku terlibat dalam kejadian ragut dan samun berkumpulan, manakala seorang lagi suspek berusia 35 tahun tidak mengaku terlibat tetapi rumahnya dijadikan tempat menghisap dadah empat suspek tersebut.

“Kita percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun dan curi kenderaan serta dadah di daerah Baling, Kuala Muda, Kota Setar, Padang Terap dan Sik yang dilakukan oleh suspek terlibat sejak setahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI