fbpx

Derita haid keluar melalui pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd.Iqbal menyuap makanan kepada ibunya yang menghidap penyakit kencing manis kronik di Kampung Pangkal Changgong, Machang kelmarin.

MACHANG – Penderitaan seorang suri rumah yang menghidap penyakit kencing manis sejak 26 tahun lalu semakin bertambah apabila dia mengalami kitaran haid yang tidak normal.

Haid Norsila Mohamad, 36, mencetuskan misteri apabila keluar melalui pusat sejak tiga tahun lalu.

Menurut Norsila, pada pe­ringkat awal, dia tidak tahu mengenai keadaan itu, namun pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu telah membuat pemeriksaan lanjut dan mengesahkan bahawa darah yang keluar melalui pusat adalah haid.

Menurut ibu seorang anak itu, pihak hospital mengambil sampel darah haidnya dan memaklumkan bahawa dia perlu melakukan pembedahan bagi mengetahui punca sebenar pe­nyakitnya.

“Namun, saya amat takut dan tidak mahu untuk dibedah, sudah tiga tahun keadaan ini berlaku dan saya masih boleh bertahan lagi.

“Saya menderita penyakit kencing manis kronik sejak berusia 10 tahun. Keadaan itu menyebabkan kaki kanan sehingga paras betis dan tiga jari kaki kiri sudah dipotong,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Changgong di sini kelmarin.

Terdahulu, Norsila menerima kunjungan Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang, Kamarudin Ab. Kadir yang hadir menyerahkan sumbangan makanan kepada keluarga itu.

Norsila berkata, penyakit kencing manis yang dihidapinya itu kini menyebabkan pergerakan semakin terbatas apabila kedua-dua belah mata semakin kabur sejak tiga bulan lalu.

Dia kini banyak bergantung harap kepada anak lelakinya, Mohd. Iqbal Nasrom, 13, untuk bergerak menggunakan kerusi roda.

“Walaupun Mohd. Iqbal seorang remaja lembam, namun dia boleh memasak dan menyuap nasi kepada saya setiap hari dengan dibantu dua anak saudara yang tinggal bersama kami.

“Keluarga kami kini berdepan kekangan kewangan apabila suami, Nasrom Basri, 47, yang be­kerja sebagai pemandu lori kelapa sawit hilang punca pendapatan sejak tiga bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sepanjang tempoh suami tidak bekerja, kami terpaksa ikat perut kerana terputus bekalan makanan. Kami terpaksa me­minta beras daripada keluarga terdekat,” katanya.

Menurut Norsila, dia me­nerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan ha­rian termasuk membayar sewa rumah sebanyak RM170 sebulan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Agro Bank, Norsila Muhamad iaitu 2006672000081226 atau hubungi talian 013-534 4977.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI