LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel meneruskan rekod cemerlangnya membimbing pasukan itu selepas meraih satu lagi kemenangan apabila menewaskan Everton 2-0 di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Kemenangan itu sekali gus menjadi rekod baharu buat Chelsea apabila mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dan Tuchel menjadi pengurus di England pertama berjaya mengemudi pasukan untuk aksi tanpa bolos di laman sendiri dalam lima perlawanan pertama.
Aksi tanpa bolos dalam lima perlawanan liga berturut-turut itu juga menyaksikan Chelsea berjaya mengulangi pencapaian yang telah dilakukannya mereka pada 2015.
Dalam aksi tersebut, penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy hanya diuji sekali sahaja sementara The Blues meraih kemenangan tersebut hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Everton, Ben Godfrey serta Jorginho yang menyempurnakan sepakan penalti.
Sejak mengambil alih tugas daripada Frank Lampard, Tuchel berjaya memastikan Chelsea hanya bolos dua kali dalam 11 perlawanan berkenaan dan beliau mengakui ia adalah hasil kerjasama sepasukan selain mentaliti kemenangan yang wujud dalam diri pemain.
“Ia adalah mengenai kemahuan. Cara bertahan dalam perlawanan melibatkan kesungguhan. Adakalanya kami bertahan di bahagian tengah lagi. Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk keyakinan, keinginan dan keberanian,” jelasnya.
Sementara itu, bintang baharu Chelsea, Kai Havertz mengakui bahawa dia berdepan kesulitan pada bulan pertama di London dan menggesa rakan sepasukannya mencari penamat terbaik musim ini untuk menutup mulut pengkritik.
“Ia sukar untuk diucapkan, saya berdepan masalah ketika mula-mula tiba di sini. Saya harap dapat lebih keyakinan untuk memberikan aksi terbaik bersama Chelsea.
“Sudah tentu bukan mudah kerana semuanya masih baharu di sini. Saya sudah berada di sini selama tujuh bulan dan sudah tiba masa untuk memberikan persembahan yang sepatutnya untuk pasukan ini,” ujarnya.
– AGENSI