PETALING JAYA- Pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) kini mempunyai lebih pilihan rumah idaman apabila sebanyak enam model baharu ditawarkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, reka bentuk baharu berkonsepkan kontemporari itu adalah lebih menarik dan mampu memberikan keselesaan kepada semua pemohon RMR.
“Antara reka bentuk baharu yang diperkenalkan adalah jenis bertiang berkeluasan 900 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.
“Dengan pertambahan enam reka bentuk baharu RMR itu, SPNB yakin dapat memberikan nafas baru dengan menawarkan lebih variasi pilihan reka bentuk kepada pemohon RMR berbanding hanya dua reka bentuk sebelum ini,” katanya tadi.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan rasmi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Ibu Pejabat SPNB di Shah Alam, Selangor.
Katanya, SPNB turut menambah baik polisi perlindungan insuran RMR sedia ada dengan penambahan perlindungan ke atas permohonan baru RMR.
“Selain perlindungan kebakaran dan banjir, pemohon akan turut menerima perlindungan kemalangan, badal haji, khairat kematian dan juga kos penghospitalan sebanyak RM100 sehari.
“Antara kelayakan pemohon RMR adalah terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM3,000 selain tidak memiliki rumah,” ujarnya. -K! ONLINE