PUTRAJAYA – Notis amaran akan diberikan jika kesalahan terkumpul mencapai 70 mata dan jika ia mencecah 100 mata maka, notis pengosongan kuarters akan dikeluarkan serta merta.
Itu sistem penguatkuasaan baharu dikenali Sistem Demerit diperkenalkan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menguatkuasakan peraturan menduduki kuarters kerajaan.
BPH menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, sistem itu diperkenalkan awal tahun ini sebagai langkah memastikan penghuni kuarters mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurutnya, pihaknya ingin memastikan kemudahan kuarters yang diberikan sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas, selesa dan selamat.
“Melalui sistem ini, pelanggaran peraturan dikategorikan kepada dua, iaitu kesalahan kecil dan kesalahan mandatori.
“Bagi kesalahan kecil, mata demerit dikenakan kepada penghuni sebanyak lima, 10 atau 20 mata mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya. -K! ONLINE.