PETALING JAYA – Dua lelaki warga tempatan dipercayai ahli sindiket perlombongan bitcoin berjaya diberkas di hadapan sebuah premis di Jalan Rawang Putra 1 di sini hari ini.
Penahanan kira-kira pukul 1.20 pagi itu dilakukan selepas sepasukan polis dari Balai Polis Rawang melihat dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan memasuki sebuah premis dengan tergesa-gesa.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menerusi satu kenyataan berkata, penahanan dua lelaki berkenaan membawa kepada serbuan di sebuah premis.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, polis berjaya menemui sejumlah mesin melombong bitcoin yang sedang aktif beroperasi dengan membuat penyambungan elektrik secara haram.
“Pemeriksaan tersebut turut disertai pegawai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rawang yang mengesahkan aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan operasi mesin melombong Bitcoin berdasarkan pintasan pada litar utama,” katanya.
Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati aktiviti melombong bitcoin tersebut telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
“Setiap mesin yang berjalan boleh mencapai keuntungan antara RM500 hingga RM 1,000 dan pihak TNB masih menjalankan siasatan terhadap kerugian yang dihadapi.
“Kita juga telah merampas 46 unit mesin melombong bitcoin, seunit komputer riba dan serangkai kunci,” ujarnya.
kedua-dua suspek masing-masing berusia 22 dan 35 tahun itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan reman telah dibenarkan selama sehari untuk untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE.