fbpx

Penyelarasan hutang peneroka Felda diumum Mei depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSTAPA (tengah) meninjau ladang buah tin di tapak GMN di Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

HULU SELANGOR – Penyelarasan senarai hutang semua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Mei depan.

Keseluruhan hutang itu kini berjumlah kira-kira RM12 bilion termasuk RM8.8 bilion yang melibatkan hutang kebun peneroka di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda sedang giat melaksanakan proses audit dan meneliti hutang berkenaan.

Menurut beliau, penyelarasan itu dianggap perlu bagi mengurangkan beban hutang yang terpaksa ditanggung peneroka ketika ini.

“Saya difahamkan kadar hutang mereka (peneroka) kini dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan dan jumlah itu sememangnya tinggi.

“Justeru, golongan itu perlu dibantu dengan mengurangkan jumlah hutang berkenaan dan senarainya akan diumumkan pada Mei nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak Projek Gedung Makanan Negara (GMN) di Felda Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Media sebelum ini melaporkan Felda terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan lancar.

Sementara itu, Amiruddin berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu hutang peneroka berkenaan.

“Selain kebun, semua hutang itu melibatkan pelbagai jenis antaranya pendidikan, kedai dan komputer.

“Kita akan memuktamadkan jumlah hutang itu dan berita gembira berkenaan mungkin akan diumum pada bulan Ramadan nanti,” katanya. -K !ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI