SHAH ALAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang memburu seorang pemilik syarikat perniagaan berasaskan pertanian yang disyaki terlibat dalam pembakaran terbuka di kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan dekat sini.
Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu disyaki menyewa tanah seluas 15.78 hektar dalam hutan simpan tersebut yang dikhususkan sebagai hutan tani.
Katanya, suspek disyaki mengupah pekerja-pekerja warga Indonesia untuk membuat pembakaran bagi membersihkan kawasan sebagai persediaan untuk memulakan aktiviti pertanian.
Bagaimanapun, jenis pertanian yang akan diusahakan masih dalam siasatan JAS Selangor.
“Berdasarkan carian hak milik tanah, kita telah dapat kenalpasti penyewa tanah selain pemiliknya.
“Kita yakin kedua-dua mereka ini dapat diberkas dalam masa terdekat dengan bantuan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, tiga sampel bahan bukti telah diambil di lokasi kebakaran sebelum ini bagi tujuan siasatan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Ujar Nor Aziah, kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sebelum ini, pihak berkuasa telah berjaya menangkap seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki telah diupah melakukan pembakaran terbuka itu.
“Suspek itu telah menggunakan pam racun yang dipercayai mengandungi minyak diesel yang digunakan untuk membakar sisa-sisa kayu yang telah ditebang,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan penangkapan lelaki warga Indonesia itu yang berusia 26 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan melibatkan 40.46 hektar daripada 7,416 hektar keseluruhan hutan itu. -K! ONLINE.