fbpx

Liga Super: JDT bermandi peluh benam Penang FC 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Safawi Rasid berjaya melepasi kawalan dari pemain pertahanan Penang FC, Muhammad Azmeer Aris pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Biarpun membariskan kesebelasan yang sama ketika menang ke atas Kedah Darul Aman FC, skuad Harimau Selatan itu dilihat gagal mempamer aksi terbaik mereka pada babak pertama perlawanan.

Disiplin tinggi yang ditunjukkan barisan pertahanan Penang FC berjaya mengekang kemaraan jentera serangan pasukan tuan rumah serta menutup ruang mencari gol pembukaan.

Percubaan terbaik Harimau Selatan hadir menerusi rembatan jarak jauh Leandro Velazquez namun berjaya ditumbuk keluar penjaga gawang Samuel Somerville.

Bersambung babak kedua, JDT tampil dengan aksi yang lebih garang dan hampir memecah kebuntuan namun Fernando Rodriguez gagal menyempurnakan umpanan cantik Gonzalo Cabrera pada minit ke-47.

Biarpun bertubi-tubi diasak JDT, pasukan pelawat mencuri peluang melakukan serangan balas menerusi Anselmo Arruda Da Silva yang melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-52 bagaimanapun hantaran lintang kepada Endrick Dos Santos tidak membuahkan hasil.

Benteng pertahanan skuad bimbingan Trucha Tomas terus mempamerkan aksi cemerlang, kali ini Ryuji Utomo Prabowo menghadang percubaan Safawi Rasid menggunakan badannya sebagai benteng terakhir bagi memastikan kubu tidak dibolosi pada minit ke-57.

Pada minit ke-63, Safawi bijak melepasi kawalan pertahanan dengan melancarkan serangan dari sayap kiri namun tidak bernasib baik untuk meletakkan bola di dalam gawang lawan.

Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir perlawanan, pasukan kendalian Benjamin Mora dihadiahkan sepakan penalti setelah Cabrera dijatuhkan dalam kotak penalti setelah dikasari Somerville.

Velazquez yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan pasukan di hadapan.

Pada minit ke-85, Fernando Rodriguez memastikan kemenangan berpihak kepada JDT apabila menjaringkan gol kedua perlawanan.

Pendatang baharu Liga Super itu tidak berputus asa bagi mencari gol pembukaan namun keputusan perlawanan kekal ke wisel penamat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI