PETALING JAYA – AirAsia kini memiliki lebih daripada 200 orang juruterbang wanita dan lebih 230 jurutera wanita.
Menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan semalam, AirAsia berkata, sebagai pelopor dalam mencabar keserataan gender, pihaknya berbangga memiliki salah satu nisbah juruterbang dan jurutera
wanita tertinggi di rantau ini dalam industri.
Jelasnya, hampir satu daripada 20 juruterbang dan hampir satu daripada 15 jurutera di seluruh Kumpulan Airasia adalah wanita.
“Pada 2009, AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang mengambil juruterbang wanita iaitu Kapten Norashikin Onn, yang juga merupakan juruterbang komersial wanita pertama di Malaysia.
“Sejak itu, jumlah juruterbang wanita kami terus melonjak, antaranya Kapten AirAsia Indonesia, Monika Anggreini dan Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, yang bermula sebagai kru kabin sebelum bertugas sebagai kapten wanita pertama mengendalikan pesawat Airbus 330 di Thailand,” katanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia semalam.
Menurutnya, AirAsia telah meningkatkan peratusan wanita dalam posisi pengurusan daripada 15 peratus pada 2019 kepada 24 peratus pada 2021.
Sementara itu, Presiden AirAsia Digital, Aireen Omar yang juga merupakan pengasas kempen #GirlsCanDoAnything berkata, selama bertahun-tahun wanita telah membuktikan bahawa mereka setanding atau lebih baik daripada lelaki.
“Kami telah menunjukkan kepada dunia bahawa kami berdaya tahan, berkebolehan, bijak serta mempunyai pelbagai kelebihan, tidak bersandarkan rupa semata-mata,” katanya.