MATANG sering dikaitkan dengan faktor usia seseorang.
Dalam erti kata lain, matang ditakrifkan sebagai seseorang yang bersikap seperti orang dewasa.
Kematangan seseorang bukan sahaja diukur melalui raut wajah, namun dilihat dengan tutur kata, pemikiran, tingkah laku dan emosi seseorang.
Bagi penulis, sukar untuk mengukur tahap kematangan seseorang melalui usianya.
Penulis sendiri misalnya pada usia 32 tahun, masih gemar menonton kartun Doraemon dan ‘terkinja-kinja’ bersama rakan sepejabat.
Adakah tingkah laku sebegitu menjadi kayu pengukur menunjukkan penulis sebenarnya masih belum matang?
Sedar atau tidak, sikap tidak matang sedikit sebanyak boleh memberi kesan ‘tidak selesa’ kepada orang lain terutama kepada kenalan terdekat.
Umur makin tua, perangai macam budak-budak.
Ungkapan sedemikian sering diberikan kepada individu yang menunjukkan sikap seperti keanak-anakan tidak sepadan dengan usianya.
Kuat merajuk, sensitif dan sentiasa beremosi pada hal-hal remeh juga menjadikan seseorang itu kelihatan tidak matang.
Rimas sebenarnya jika kita sering berhadapan dengan golongan sebegini. Lama-kelamaan, timbul satu persepsi buruk terhadap individu tersebut dek kerana perangainya tidak seiring dengan peningkatan usia.
Benarkah sikap sebegitu menunjukkan dirinya masih belum matang?
Pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad dalam satu perkongsiannya telah menyenaraikan tanda-tanda seseorang itu telah mencapai tahap kematangan dalam kehidupan.
Salah satunya ialah seseorang itu berhenti menilai dan menghukum orang lain tetapi fokus untuk mengubah diri sendiri.
Tanda lain ialah boleh menerima orang lain seadanya dan faham makna perbezaan pendapat. Ini menunjukkan kematangan diri seseorang itu sama sekali tidak diukur kepada usianya.
Peningkatan usia seseorang itu bukanlah tanda dia benar-benar matang dan bertindak tanpa mengikut emosi.
Menurut Dr. Shazli Ezzat Ghazali, pensyarah Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, tahap kematangan seseorang itu banyak bergantung pada pengalaman yang dilaluinya.
Ujar Shazli, lagi banyak pengalaman yang ada dalam diri, maka seseorang itu akan menjadi lebih matang dalam aspek mental.
“Kematangan ada dua bentuk iaitu kematangan mental dan fizikal. Kematangan fizikal selalunya setara dengan usia kita, manakala kematangan mental adalah berdasarkan pengalaman yang dilaluinya,” ujar Shazli.
Tambah beliau, pengalaman yang dilalui akan menjadikan seseorang itu cepat matang.
“Tahap kematangan antara lelaki dan perempuan juga berbeza kerana ia dikaitkan dengan elemen emosi. Menerusi kajian, rata-rata perempuan memiliki fizikal dan mental yang setara dengan usianya.
“Bagi lelaki pula, golongan ini memiliki kematangan lima tahun ke belakang. Maksudnya, kalau seorang lelaki itu berusia 20 tahun, tahap kematangan mentalnya adalah setara dengan individu berusia 15 tahun.
“Selain pengalaman, ilmu juga membantu seseorang itu untuk membentuk proses kematangan,” katanya.
Justeru, bolehlah disimpulkan bahawa tahap pendidikan juga penting untuk membentuk penampilan seseorang.-K! ONLINE