Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
REKOD tujuh kemenangan Kedah ke atas Sabah sebelum ini langsung tidak membawa apa-apa makna buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila melayani kunjungan pasukan Negeri di Bawah Bayu itu di Stadium Darul Aman malam ini.
Malah menurut pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak, kedudukan Sabah pada tahun lalu yang hampir tergelincir ke saingan Liga Premier juga tidak boleh dijadikan sandaran buat anak-anak buahnya bermain secara sambil lewa di gelanggang sendiri.
“Rekod lalu tidak membawa sebarang makna ketika saingan musim baharu bermula. Apatah lagi kami akan berdepan mereka dalam keadaan beberapa pemain utama masih cedera.
“Penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim serta Syazwan Tajudin sah tidak dapat diturunkan akibat kecederaan ketika bertemu JDT minggu lalu, manakala Renan Alves juga masih belum pasti bermain atau tidak,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Katanya, sehingga kini kemampuan Sabah yang dikendalikan oleh jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto masih belum diketahui sepenuhnya dan mereka dilihat membuat persiapan agak rapi bagi menghadapi musim ini.
“Saya tiada maklumat mengenai kemampuan mereka. Apa pun, kami akan memberikan yang terbaik untuk mencari mata sulung dalam Liga Super musim ini,” katanya.
Sementara itu Aidil berkata, kekalahan kepada JDT pada minggu lalu perlu segera dilupakan anak-anak buahnya menjelang perlawanan esok.