PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru syarikat francaisor melihat semula pakej francais mereka dengan mengenakan kos lebih rendah bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan muda ceburi perniagaan francais.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, dalam masa sama, pemilik perniagaan terutama yang sudah kukuh juga dialu-alukan mengembangkan perniagaan dengan membuka atau menceburi perniagaan francais konsep mikro dan mampu milik.
Menurutnya, sistem perniagaan francais yang baik sering kali hadir dengan pakej permulaaan agak tinggi misalnya, dengan permulaan dari RM150,000 hingga jutaan ringgit.
“Di samping masalah pandemik ketika ini serta kekurangan pekerjaan selain ekonomi tidak menarik, ramai yang datang mengadu kepada KPDNHEP untuk menjadi usahawan francais tetapi francaisor mengenakan bayaran tinggi ratusan ribu sehingga jutaan ringgit.
“Kita memikirkan cara untuk memenuhi permintaan golongan ini. Justeru, timbul idea pihak kementerian, Ketua Setiausaha KPDNHEP serta pegawai untuk berbincang dengan francaisor bagi menurunkan bayaran kepada yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ‘walkabout’ ke kiosk francais CheeseU Putrajaya iaitu kiosk pertama jenama tersebut yang mampu milik dengan kos di bawah RM100,000.
Sehubungan itu, beliau berkata, KPDNHEP mengalu-alukan francaisor di negara ini mewujudkan pakej perniagaan model francais mikro dan mampu milik dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais.
Malah, katanya, KPDNHEP sebagai peneraju pembangunan industri francais di negara ini telah diperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik pada tahun ini. -K!ONLINE