LANSING, Michigan – Enam orang dilaporkan cedera apabila sebutir bom buatan sendiri milik seorang pelajar di sebuah sekolah tinggi Michigan meletup secara tidak sengaja ketika kelas sedang berlangsung, lapor New York Post, pagi ini (waktu tempatan).
Mangsa yang tercedera termasuk pemilik bom iaitu pelajar berusia 16 tahun, empat pelajar lain dan seorang guru di Sekolah Tinggi Newaygo, demikian pengesahan polis kepada stesen televisyen, MLive.com.
Bagaimanapun, pihak polis tidak mendedahkan jenis bahan letupan yang digunakan dan sebab pelajar itu membawanya ke sekolah.
Dalam masa sama, Pengetua Sekolah Tinggi Newaygo, Peggy Mathis menafikan letupan tersebut dikategorikan sebagai serangan pengganas atau dirancang dengan niat jahat.
“Letupan itu bukan sengaja diletakkan dalam kawasan sekolah untuk menyakiti pelajar. Kesemua yang terlibat secara langsung dengan situasi berkenaan telah mengesahkan bahawa ia tidak berbentuk khianat atau balas dendam,” jelasnya.
Insiden letupan itu turut menyebabkan semua sekolah yang berada dalam daerah Newaygo mengarahkan perintah berkurung kepada semua penghuninya sehingga situasi reda. – Agensi