PETALING JAYA – Sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan acara langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut peraturan yang ditetapkan berkuat kuasa esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar permohonan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) mengenai kelonggaran beberapa lagi industri kreatif termasuk kebenaran mengadakan acara langsung dengan kehadiran penonton dan penggambaran luar studio.
“Atas penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat bersetuju membenarkan kelonggaran itu dengan kehadiran bagi acara di kawasan PKPB ialah 50 peratus dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal. Manakala bagi kawasan PKPP, mengikut keluasan premis.
“Acara langsung yang merangkumi program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, seni tari, persembahan kebudayaan dan warisan serta Livestreaming,” katanya dalam sidang khas hari ini.
Katanya, mesyuarat turut bersetuju untuk membenarkan penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). – K! ONLINE