BURNLEY – Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka memohon maaf kepada peminat pasukan itu selepas melakukan kesilapan ketika seri 1-1 menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Turf Moor malam kelmarin.
Pemain antarabangsa Switzerland itu menjadi punca gol penyamaan Burnley selepas sepakannya terkena Chris Wood sebelum menerjah gawang The Gunners, sekali gus memadam gol pendahuluan Pierre-Emerick Aubameyang.
Justeru, Xhaka tampil memohon maaf atas kesilapan itu, lebih-lebih lagi ia menjadi punca Arsenal gagal memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
“Saya akui gol penyamaan itu adalah hasil kesilapan sendiri dan saya meminta maaf kepada semua penyokong. Diharapkan perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Bagaimanapun, ini adalah bola sepak dan apa-apa sahaja boleh berlaku. Saya juga kecewa dengan keputusan ini, sama seperti anda semua yang mahu melihat pasukan menang,” katanya menerusi laman Instagram.
Jika dilihat pada pertemuan sebelum ini, Xhaka tidak memiliki rekod yang baik berdepan The Clarets apabila pernah dibuang padang sebanyak dua kali.
Arsenal akan berdepan aksi sukar pada perlawanan liga seterusnya apabila dijadualkan bertemu musuh setempat, Tottenham Hotspur di Stadium Emirates 15 Mac depan. – AGENSI