TUMPAT – Seorang lelaki warga emas yang mengaku kononnya bergelar Tengku kerabat Diraja Kelantan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penyamaran bagi tujuan menipu tawaran projek balak tahun lalu.
Tertuduh, Raja Yusuf R. Ismail, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Armi Najamuddin Azmi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai seorang kerabat Diraja Kelantan dengan pengetahuan untuk menggantikan nama Raja Yusuf R. Ismail kepada Yang Amat Mulia Tengku Yusuf Tengku Ismail bertujuan menawarkan projek balak di Machang untuk menipu Mohd. Fariz Hashim.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu di sini kira-kira pukul 10 pagi hingga 5 petang pada 28 Oktober tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faris Ab. Jalil manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tara Singh Delip.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh bagaimanapun tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – K! ONLINE